MENGAPA KANAK-KANAK AUTISME LAMBAT UNTUK BERCAKAP ?
Adakah anda pernah tertanya-tanya mengapa
kanak-kanak autisme sukar untuk bertutur apatah lagi berkomunikasi ? Dan
bagaimana pula ianya dapat dikenalpasti? Jadi marilah kita pelajari apakah yang
menyebabkan kanak-kanak istimewa ini mengalami masalah lewat untuk
memperoleh bahasa pertamanya berbanding kanak-kanak normal yang lain.
Seperti yang kita sedia maklum,
kanak-kanak autisme merupakan golongan kanak-kanak yang kelahirannya daripada
segi fizikal jelas kelihatan normal, rupanya setanding dengan kanak-kanak lain
bahkan terdapat ramai kanak-kanak istimewa ini yang memiliki rupa paras
yang lebih menawan dan sangat comel. Namun begitu, golongan ini diuji
dengan terpaksa mengalami kesan buruk daripada pelbagai aspek tertentu, contohnya
seperti aspek komunikasi, perkembangan sensori dan masalah kelakuan yang
berulang. Pelbagai tanda yang ditunjukkan dapat dijadikan rujukan bagi
mengenalpasti sama ada kanak-kanak itu menghidap autisme ataupun tidak,
contohnya adalah seperti berikut;
1.
Tidak bertindak balas terhadap
senyuman.
2.
Tantrum yang keterlaluan tanpa sebab
sehingga mencederakan diri seperti menghantukkan kepala ke dinding.
3.
Tidak menunjukkan minat untuk
berkawan dan bermain dengan kanak-kanak lain, malah selesa bermain sendiri.
4.
Sering menyebut sesuatu perkataan
secara berulang-ulang dan kerap melentikkan badan seolah-olah mengelak apabila
dipeluk.
5.
Terlalu sensitif dan mempunyai minat
yang pelik kepada sesuatu seperti cahaya, bunyi atau pergerakan.
6.
Mereka juga sering kali menunjukkan
obsesi kepada sesuatu perkara seperti permainan tertentu sahaja.
7.
Gemar mengibarkan tangan dan
memusingkan badan setempat. Malah kanak-kanak 18 bulan ke atas , mereka lebih
suka menggunakan isyarat berbanding perkataan.
Babbling atau membebel adalah pertuturan atau bahasa yang digunakan bayi
apabila mencapai usia 12 bulan. Babbling juga adalah peringkat dalam perkembangan kanak-kanak dan keadaan dalam pemerolehan bahasa di mana bayi nampaknya bereksperimen dengan mengeluarkan bunyi artikulasi, tetapi belum menghasilkan kata-kata yang dikenali. Babbling telah bermula sebaik sahaja selepas kelahiran dan berkembang melalui beberapa peringkat apabila himpunan bunyi bayi mengembang dan penyuaraan menjadi lebih seperti ucapan. Kebiasaannya kanak-kanak normal akan berkomunikasi
dengan orang sekeliling dalam bahasa bayi namun tidak bagi kanak-kanak autisme kerana mereka kebanyakkannya sering menolak untuk melakukan babbling.
Seterusnya, kanak-kanak
autisme ini juga mengalami pelbagai masalah dalam mengekspresikan diri mereka
serta mempunyai gangguan komunikasi dengan orang sekeliling mahupun hanya dalam
kalangan keluarga mereka sendiri. Kanak-kanak
ini menjadi tidak selesa bersama orang yang tidak mereka kenali dan hanya
selesa bersama dengan ibu bapa dan ahli keluarga yang rapat sahaja. Kebolehan
mereka untuk bersosial dengan orang asing sangat terbatas. Perkara ini juga menjadi punca anak-anak autisme sukar untuk bertutur apabila mereka tidak berkawan dan bermain dengan orang yang berada di luar lingkungan
yang membuat mereka selesa.
Gangguan komunikasi ini bukan sahaja melibatkan masalah pertuturan akan tetapi turut menganggu kanak-kanak istimewa ini dalam melakukan ekspresi wajah mahupun gerak geri badan mereka sendiri.
Penghidap autisme menghadapi masalah emosi yang tidak
stabil dan membuatkan mereka lebih cenderung untuk marah dan menangis tanpa
sebab yang munasabah. Sekiranya mereka gagal memperoleh sesuatu yang diinginkan
mereka akan mula bertindak agresif dan sukar dikawal.
Selain itu, kanak-kanak yang normal umumnya lebih mudah untuk menerima
dan memahami sebarang maklumat atau dalam erti kata lain mudah dalam menerima
proses pengajaran, tetapi sebaliknya pula bagi golongan kanak-kanak yang
mempunyai masalah autistik ini. Kanak-kanak ini biasanya mengalami perkembangan
motor yang agak lambat berbanding anak yang normal. Kebolehan mereka untuk
melakukan sesuatu sering jauh ke belakang daripada yang sepatutnya. Misalnya
seperti bayi 6 bulan masih tidak boleh senyum dan menunjukkan perasaan riang
dan bayi 9 bulan masih tidak mampu untuk mengeluarkan bunyi dan menunjukkan
ekspresi muka.
Tidak dinafikan juga orang sekeliling terutamanya ibu bapa kanak-kanak
ini semestinya akan dapat mengenalpasti perbezaanya dan akan bersetuju dengan
pendapat bahawa proses pembelajaran terlalu kompleks dan sukar untuk diterima
dan dipraktikkan oleh golongan kanak-kanak ini dan menjadi salah satu punca
mengapa kanak -kanak ini lewat dalam memperoleh bahasa pertamanya.
Gangguan dalam berbahasa tersebut umumnya juga dapat terjadi kerana
adanya keterhambatan anak autisme dalam memperoleh dan menyerap bahasa-bahasa
yang terdapat dalam linkungan sekitar. Disebabkan perkara ini juga ia telah
menyebabkan kanak-kanak autisme gagal untuk bertutur dengan baik.
Dalam psikolinguistik sudah dijelaskan
proses pemerolehan bahasa dapat dikenalpasti melalui gejala-gejala mental atau
psikologi yang mempengaruhi kemampuan seseorang dalam berbahasa. Salah satu
contohnya dapat dilihat melalui gejala mental atau psikologi yang dimiliki oleh
penghidap autisme.
Misalnya seperti, kanak-kanak autisme juga mudah untuk berasa tertekan
sekiranya gagal menghadam sesuatu proses atau perkara yang dialami oleh mereka
dan membuatkan mereka mengalami meltdown. Meltdown bermaksud
tindakan yang berlaku apabila kanak-kanak autisme ini merasa tidak selesa dalam
diri mereka dan mendorong mereka untuk bertindak luar jangkaan seperti
menghantukkan kepala, menggigit diri sendiri, melompat-lompat atau
menghempaskan badan ke lantai untuk melepaskan tekanan yang dialami sehingga
boleh membahayakan nyawa mereka sendiri. Hal ini berlaku tanpa dapat dikawal
oleh diri mereka sendiri tetapi hanyalah boleh ditenangkan dan dipantau sahaja supaya
mereka tidak melakukan perbuatan yang lebih berbahaya terhadap diri sendiri.
Bibliografi
Norul Haida HJ. Redzuan (2013). Ilmu Psikolinguistik. Tanjong Malim. Penerbit Emeritus Publications.
Ayu Idris.(2021) Ciri-ciri autism boleh dilihat seawal usia 6 bulan, ini 9 tanda ibu sering terlepas pandang!.TheAsianParent. Diakses pada 22 November 2022 dari :
Ciri Ciri Autism Pada Anak Boleh Dilihat Bermula Usia 6 Bulan (theasianparent.com)
Noor Hazreen Mohd Mokhtiar.(2022). 10 Ciri-ciri autisme tana awal penting ibu bapa kenalpasti. Bidadari.my. Diakses pada 1 Disember 2022 dari :
10 Ciri Ciri Austisme Tanda Awal Penting Ibu Bapa Kenalpasti. - Bidadari.My
TV3MALAYSIA Official. (2019 Ogos 23) Anak Lambat Bercakap (video file). Diakses pada 17 November 2022 dari :
https://youtu.be/VuNVVlPTuvk
Syakirah And The Kids. (2021) Kenali masalah sensori anak / autism Malaysia (video file). Diakses pada 19 November 2022 dari :
https://youtu.be/-8MP9sRX12M
TV3MALAYSIA Official. (2021 Mei 23). Helo Doktor Kenal Pasti Anak Autism (video file). Diakses pada 19 November 2022 dari:
https://youtu.be/sJSHD7uDCTI
Comments
Post a Comment